(Poster konsert Coldplay)
PUTRAJAYA, 20 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menasihatkan pengguna agar membuat aduan kepada agensi itu sekiranya mereka merasakan wujud unsur penipuan dalam penjualan tiket konsert Coldplay.
KPDN menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan aduan rasmi perlu bagi membolehkan agensi itu menjalankan siasatan di bawah mana-mana akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN atau lain-lain kementerian.
“Sebagai pelanggan, pengguna berhak memilih tiket pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dan penawaran harga yang berpatutan oleh peniaga.
"Namun, jika pembeli merasakan wujudnya unsur penipuan dalam urusan pembelian tiket tersebut, mereka wajar membuat aduan rasmi kepada KPDN dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan,"menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, KPDN menasihatkan pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah ekoran isu penjualan semula tiket konsert hiburan Coldplay itu pada harga yang terlalu tinggi.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai kewujudan akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay dikatakan dikendalikan oleh 'scammers', dan ada juga laporan mengenai tindakan menjual semula tiket konsert kumpulan itu pada harga amat tinggi, mencecah RM43,200 yang mengundang kecaman ramai.
Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, akan menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka di Malaysia pada 22 Nov ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
(Kumpulan Coldplay)