fb fb fb fb fb

Presiden Romania tugaskan ahli sosial demokrat bentuk kerajaan baharu

Perdana Menteri Sosial Demokrat, Marcel Ciolacu / Foto Reuters

BUCHAREST, 23 Disember - Presiden Romania, Klaus Iohannis melantik Perdana Menteri Sosial Demokrat, Marcel Ciolacu untuk membentuk kerajaan baharu selepas tiga parti pro-Eropah mencapai perjanjian gabungan yang memberikan mereka majoriti di parlimen.

Kerajaan gabungan yang terdiri daripada Parti Sosial Demokrat (PSD), Parti Liberal tengah kanan dan Parti Etnik Hungary (UDMR) dijangka menerima undi kepercayaan parlimen pada Isnin.

Dengan pengaruh wakil minoriti, gabungan tersebut menguasai sekitar 54% kerusi di badan legislatif.

Selepas tiga pilihan raya berturut-turut yang penuh kekacauan, di mana seorang ahli politik yang cenderung kepada pandangan ekstrem kanan pro-Rusia yang kurang dikenali memenangi pusingan pertama pemilihan presiden pada 24 November, campur tangan Rusia menjadi isu utama, menyebabkan mahkamah tertinggi membatalkan pemilihan tersebut.

Kerajaan baharu itu kini perlu menetapkan tarikh bagi pemilihan presiden dua pusingan yang baru.

Ketiga-tiga parti dalam gabungan itu bersetuju untuk menyokong satu calon presiden bagi menghalang kemenangan daripada golongan ideologi politik yang cenderung kepada pandangan ekstrem kanan.

Pada masa ini, calon yang disokong mereka ialah Crin Antonescu, bekas pemimpin Parti Liberal.

“Saya sedar ini bukan mandat yang mudah, dan adalah penting untuk kerajaan ini mendapatkan kembali keyakinan pelabur,” kata Ciolacu kepada wartawan.

Cabaran besar yang dihadapi oleh kabinet baharu Romania adalah untuk mengurangkan defisit belanjawan negara daripada jangkaan 8.6% hasil ekonomi tahun ini, yang merupakan yang tertinggi dalam Kesatuan Eropah, kepada sekitar 7% pada 2025.

Penganalisis dan agensi penarafan menjangkakan kenaikan cukai sebagai langkah untuk mencapai sasaran tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN