TEHRAN, 23 Disember – Iran menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Syria dan menekankan bahawa negara itu tidak seharusnya menjadi "tempat perlindungan bagi keganasan" selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad, sekutu lama Tehran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata dalam taklimat mingguan bahawa pendirian prinsip negara itu terhadap Syria adalah jelas, iaitu memelihara kedaulatan dan integriti Syria serta membenarkan rakyat Syria untuk menentukan masa depan mereka tanpa campur tangan asing yang merosakkan.
Baqaei turut menegaskan bahawa Syria tidak boleh menjadi tempat perlindungan bagi keganasan kerana kesan buruknya kepada negara-negara di rantau ini.
Assad melarikan diri dari Syria awal bulan ini apabila pasukan penentang kerajaan yang dipimpin oleh kumpulan Islam Sunni Hayat Tahrir al-Sham (HTS) memasuki ibu negara, Damascus, selepas serangan kilat.
Penguasaan HTS, yang diharamkan sebagai organisasi pengganas oleh banyak negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) menimbulkan kebimbangan, walaupun kumpulan itu berusaha untuk memoderatkan imejnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di bawah pimpinan Ahmed al-Sharaa, pemimpin baharu Syria yang merupakan penentang tegar Iran, kumpulan tersebut telah mengkritik pengaruh Iran di Syria di bawah Assad.
Tehran sebelum ini membantu mempertahankan Assad semasa perang saudara panjang di Syria dengan menyediakan penasihat tentera kepada beliau.
Namun, Baqaei menyatakan bahawa Iran "tidak mempunyai hubungan langsung" dengan pemerintah baharu Syria.
Sharaa, yang telah mengambil alih kuasa, menerima beberapa delegasi asing, termasuk pertemuan dengan Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, pada Ahad, dan diplomat kanan Jordan, Ayman Safadi, pada Isnin.
Pada Jumaat lalu, diplomat utama AS untuk Asia Barat, Barbara Leaf, mengadakan pertemuan dengan Sharaa dan berkata beliau menjangkakan Syria akan sepenuhnya mengakhiri peranan Iran dalam urusannya.
Beberapa delegasi Eropah juga telah mengunjungi Syria dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Arab Saudi, yang selama ini menyokong pembangkang Syria, dijangka menghantar delegasi dalam waktu terdekat, menurut duta Syria di Riyadh.-AFP