fb fb fb fb fb

Presiden Mexico dedah nombor telefon wartawan, berang akhbar AS kaitkan dirinya dengan kartel dadah

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador / AFP

MEXICO CITY, 24 Februari- Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador membalas kritikan terhadap keputusannya mendedahkan nombor telefon seorang wartawan New York Times yang menyiasat dakwaan berkaitan kartel dadah.

Lopez Obrador jelas berang selepas akhbar itu melaporkan pegawai penguatkuasa undang-undang AS menghabiskan masa bertahun-tahun meneliti dakwaan bahawa orang yang rapat dengan presiden itu menerima sogokan berjuta-juta dolar daripada kumpulan penjenayah.

Pada Khamis, Obrador membacakan nombor telefon wartawan itu pada sidang akhbar biasa bersama soalan yang dikemukakan oleh The New York Times kepadanya.

Lopez Obrador bagaimanapun menafikan bahawa dia telah melanggar peraturan perlindungan data, dengan berkata: "Tidak boleh ada undang-undang melebihi prinsip asas iaitu kebebasan."

"Apa yang berlaku apabila wartawan ini memfitnah saya? Dia mengaitkan saya dan keluarga saya (dengan jenayah terancang) tanpa bukti," tambahnya.

Kumpulan hak media Reporters Without Borders menyifatkan tindakan Lopez Obrador sebagai penuh skandal, dan dia mesti tampil meminta maaf kepada wartawan terbabit.

Menurut The New York Times, Amerika Syarikat memutuskan untuk tidak membuka siasatan rasmi ke atas Lopez Obrador.

Walaupun pegawai AS mengenal pasti kemungkinan kaitan antara kartel dadah dan orang yang rapat dengan Lopez Obrador, mereka tidak menemui sebarang hubungan langsung antara presiden itu sendiri dan kumpulan penjenayah.

Ini adalah kali kedua tahun ini Obrador, berdepan dakwaan sedemikian dalam media AS.

Bulan lalu, beliau menolak dakwaan dalam artikel yang diterbitkan di laman berita ProPublica bahawa pengedar dadah membantu membiayai kempen presiden pertamanya pada 2006.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE