PORT DICKSON, 23 Februari- Isu kelulusan visa yang mengambil masa terlalu lama dan tidak lulus antara faktor utama, Malaysia bukan pilihan pelancong dari Bangladesh.
Menurut Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan,Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, pihaknya memandang serius dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menangani isu terbabit.
Beliau tidak menolak, kekangan itu adalah disebabkan oleh prosedur pengambilan pekerja asing dari negara itu.
"Saya akan cuba berbincang dengan pihak berwajib supaya mereka guna satu kriteria berlainan untuk pelancong berprofil tinggi ini. Mereka sudah melancong ke merata dunia, sudah tentu ada visa negara-negara tersebut.
Maka, kalau mereka ada visa itu mungkin boleh percepatkan untuk proses visa kumpulan pelancong sasar ini," kata Nicole kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Hotel Malaysia Negeri Sembilan Chapter dan agensi pelancongan Cosmos Holiday Bangladesh, di sini.
Kerajaan negeri menyasarkan seramai 12,000 pelancong dari Bangladesh datang ke Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.
Antara produk pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dari negara itu adalah sukan golf, kesihatan dan pendidikan.
"Kami komited untuk membawa pelancong datang ke sini, sekiranya isu visa dipermudahkan. Insya-Allah kami akan bawa pelancong daripada penerbangan sewa khas ke Port Dickson dan Melaka," kata Pengarah Urusan Cosmos Holiday, Sabbir Ahmed.