SAN ANDRES CHOLULA, 9 Jun- Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pada Ahad mengkritik tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung serbuan imigresen dan penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan di Los Angeles semasa satu acara awam.
Sheinbaum, yang sebelum ini berusaha menjalin hubungan baik dengan Presiden AS, Donald Trump, menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut dalam menangani isu pendatang tanpa izin.
"Fenomena ini tidak akan dapat diselesaikan melalui serbuan atau kekerasan, tetapi melalui perbincangan dan pelaksanaan reformasi menyeluruh," katanya.
Serbuan imigresen persekutuan itu mencetuskan protes di bandar berkenaan, selepas operasi oleh Perkhidmatan Imigresen dan Kastam (ICE) pada Jumaat lalu menahan sekurang-kurangnya 44 individu atas dakwaan melanggar undang-undang imigresen.
Terdahulu, Trump telah berikrar untuk menghantar pulang sejumlah besar pendatang tanpa izin dan mengetatkan kawalan di sempadan AS-Mexico, dengan menetapkan sasaran penahanan sekurang-kurangnya 3,000 migran setiap hari oleh ICE.
Namun, tindakan keras itu turut melibatkan individu yang tinggal secara sah di negara tersebut, termasuk pemegang taraf penduduk tetap, sekali gus mencetuskan cabaran daripada segi perundangan.-REUTERS