LOS ANGELES, 9 Jun– Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ahad menyatakan bahawa "ketenteraman akan dikembalikan" di Los Angeles susulan penugasan Pasukan Pengawal Kebangsaan California.
Penempatan itu bertujuan mengekang gelombang protes hari ketiga yang tercetus akibat penguatkuasaan dasar imigresen oleh pentadbiran Trump.
"Pendatang tanpa izin akan diusir, dan Los Angeles akan dibebaskan," katanya menerusi perkongsian di platform Truth Social, ketika anggota Pengawal Kebangsaan mula ditempatkan di sekitar bangunan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan dilaporkan berlaku dalam beberapa demonstrasi berasingan yang membantah serbuan imigresen.
Gabenor California daripada Parti Demokrat, Gavin Newsom, menyifatkan penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan itu sebagai "tidak sah" dan secara rasmi meminta pentadbiran Trump menarik balik arahan menempatkan 2,000 anggota di Los Angeles.
Terdahulu, Trump telah berikrar untuk menghantar pulang sejumlah besar pendatang tanpa izin dan mengetatkan kawalan di sempadan AS-Mexico, dengan menetapkan sasaran penahanan sekurang-kurangnya 3,000 migran setiap hari oleh Perkhidmatan Imigresen dan Kastam.
Namun, tindakan keras itu turut melibatkan individu yang tinggal secara sah di negara tersebut, termasuk pemegang taraf penduduk tetap, sekali gus mencetuskan cabaran daripada segi perundangan.– REUTERS