MEKAH, 9 Jun- Timbalan Gabenor Wilayah Mekah merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Haji dan Umrah, Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz pada Ahad mengumumkan kejayaan musim haji tahun ini (1446 Hijrah) daripada aspek keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz atas kejayaan pelaksanaan rancangan operasi yang cemerlang.
“Perancangan ini diselaraskan dengan perjalanan rohani jemaah haji dan membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah dan tenang,” katanya.
Beliau menambah: “Saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya dalam sektor keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan, serta para sukarelawan lelaki dan wanita yang telah bekerja dengan penuh dedikasi dan keikhlasan demi memastikan kejayaan ibadah ini.
“Mereka menyedari sepenuhnya penghormatan dalam berkhidmat kepada jemaah haji. Saya turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada para jemaah, yang menjadi rakan kongsi utama dalam kejayaan ini melalui komitmen dan kepatuhan mereka terhadap peraturan”.
Putera Saud menegaskan bahawa persiapan untuk musim haji akan datang akan dimulakan serta-merta.
“Kerajaan, kepimpinan, pemerintah dan rakyat Arab Saudi berasa bangga dapat berkhidmat di tanah suci dan kepada para pengunjungnya. Kami akan segera memulakan perancangan untuk musim haji tahun hadapan akan bermula segera, dengan memohon petunjuk dan kejayaan daripada Allah SWT dalam segala usaha kami,” katanya.- BERNAMA-SPA