KAHERAH, 9 Jun- Sebuah bot bantuan kemanusiaan dalam perjalanan ke Gaza, yang turut membawa aktivis alam sekitar terkenal Greta Thunberg, dipintas oleh tentera laut Israel, pagi tadi.
Menurut kenyataan 'Freedom Flotilla Coalition' (FFC) yang menganjurkan misi berkenaan, hubungan komunikasi dengan bot yang dikenali sebagai Madleen terputus sebelum pihaknya memaklumkan bahawa kapal tersebut telah dinaiki tentera Israel.
Agensi berita AFP turut melaporkan bahawa mereka tidak lagi dapat menghubungi aktivis yang berada di atas bot berkenaan.
Wakil media FFC yang berpangkalan di Jerman, Mahmud Abu-Odeh, memaklumkan bahawa kesemua aktivis berkenaan dipercayai telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel di media sosial memaklumkan bahawa bot berkenaan telah diarahkan mengubah haluan apabila menghampiri kawasan yang diisytiharkan sebagai larangan.
Kapal itu kemudiannya ditunda ke pelabuhan di Israel.
Tambah kenyataan tersebut, semua penumpang akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing, manakala bantuan yang tidak digunakan akan disalurkan ke Gaza melalui saluran kemanusiaan rasmi. – AFP