fb fb fb fb fb

Bantah serbuan imigresen, penunjuk perasaan ditahan di Los Angeles

Foto REUTERS

LOS ANGELES, 9 Jun- Beberapa penunjuk perasaan ditahan dalam satu protes di Los Angeles semalam, bagi membantah operasi serbuan imigresen yang dilancarkan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Polis Los Angeles mengisytiharkan satu perhimpunan berhampiran dewan bandar raya sebagai “perhimpunan haram” selepas peserta demonstrasi membaling konkrit, botol dan objek lain ke arah anggota keselamatan.

"Tindakan tangkapan sedang dijalankan," menurut kenyataan jabatan itu di media sosial.

Anggota Pengawal Kebangsaan California turut dikerahkan ke Los Angeles pada hari sama bagi mengawal situasi tersebut meskipun Gabenor Demokrat negeri itu menyifatkan penugasan tersebut sebagai tidak sah.

Pasukan berkenaan mula digerakkan ketika demonstrasi membantah serbuan imigresen persekutuan memasuki hari ketiga, yang menyaksikan ketegangan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.

Anggota keselamatan turut kelihatan di kawasan Paramount, tenggara Los Angeles, berhampiran gedung 'Home Depot', lokasi kekecohan antara penunjuk perasaan dan polis pada Sabtu.

Menurut saksi, pasukan penguat kuasa turut berdepan dengan ratusan penunjuk perasaan di Paramount dan kira-kira 100 orang lagi di pusat bandar Los Angeles, dengan pegawai persekutuan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Terdahulu, Trump berikrar untuk mengusir jumlah rekod pendatang tanpa izin dan memperketatkan kawalan sempadan AS-Mexico, dengan matlamat White House meletakkan sasaran untuk Jabatan Imigresen dan Kastam menahan sekurang-kurangnya 3,000 migran setiap hari.

Namun, tindakan keras itu turut menjejaskan sebahagian individu yang sah menetap di AS, termasuk pemegang status penduduk tetap, dan kini mencetuskan cabaran undang-undang.– REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM