fb fb fb fb fb

Nahas pesawat di Tennessee: Tiada kematian, beberapa individu cedera

Foto AFP

WASHINGTON, 9 Jun- Tiada kematian dilaporkan dalam nahas pesawat yang berlaku di negeri Tennessee, Amerika Syarikat pada Ahad, namun beberapa individu dilaporkan cedera, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Pesawat jenis DeHaviland DH-6 Twin Otter yang digunakan untuk aktiviti terjun udara itu terhempas kira-kira pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Wilayah Tullahoma, selatan Nashville.

Jurucakap Tullahoma, Lyle Russell, memaklumkan bahawa kesemua 20 individu, termasuk penumpang dan krew, berada di dalam pesawat semasa kejadian.

"Tiga mangsa dihantar untuk rawatan menggunakan helikopter, manakala seorang lagi dibawa ke hospital berdekatan dengan pengangkutan darat akibat kecederaan lebih serius," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di lokasi insiden oleh pasukan penyelamat.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Pasukan Peronda Lebuh Raya Tennessee memaklumkan di platform X bahawa anggota mereka turut membantu pihak polis di lokasi kejadian.– AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM