BAABDA, 31 Julai - Presiden Lubnan, Joseph Aoun menggesa Hizbullah dan parti-parti politik lain menyerahkan senjata kepada tentera susulan tekanan semakin meningkat dari Washington agar kumpulan itu melucutkan persenjataannya.
Beliau berkata, langkah tersebut penting demi memastikan kestabilan dan keselamatan negara.
"Menjadi tanggungjawab saya dan semua parti politik untuk merebut peluang bersejarah ini dengan tegas bagi memastikan pemilikan senjata secara eksklusif diserahkan kepada angkatan tentera dan pasukan keselamatan," katanya menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen dari ibu pejabat kementerian pertahanan.
Hizbullah yang mengalami kerosakan teruk akibat konflik dengan Israel tahun lalu, menyifatkan desakan agar mereka melucutkan senjata sebagai tindakan yang hanya menguntungkan pihak zionis.
Ketua Hizbullah, Sheikh Naim Qassem menegaskan, tuntutan agar kumpulan itu menyerahkan senjata bermaksud menyerahkannya kepada Israel dan mereka tidak akan tunduk kepada rejim tersebut.
“Mereka yang mendesak supaya senjata diserahkan sebenarnya menuntut ia diserahkan kepada Israel. Kami tidak akan tunduk kepada Israel,” katanya pada Rabu.
Amerika Syarikat dilaporkan mendesak kerajaan Lubnan agar membuat keputusan kabinet secara rasmi yang menyatakan komitmen untuk melucutkan senjata Hizbullah sebelum rundingan dihentikan bagi menamatkan operasi ketenteraan Israel di negara itu.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun memaklumkan, satu cadangan akan dikemukakan kepada Washington dan dibentangkan dalam kabinet minggu depan. Antara initpati cadangan termasuk gesaan agar Israel menghentikan serangan ke atas Lubnan dan berundur dari pos-pos yang didudukinya di selatan negara tersebut, selain penyerahan senjata oleh Hizbullah kepada tentera Lubnan.
Cadangan berkenaan turut merangkumi permohonan dana tahunan sebanyak AS$1 bilion bagi tempoh 10 tahun untuk menyokong angkatan tentera dan pasukan keselamatan Lubnan, selain mencadangkan penganjuran sebuah persidangan antarabangsa pada hujung tahun ini bagi menyokong usaha pembinaan semula negara itu. - REUTERS