VILNIUS, 31 Julai - Perdana Menteri Lithuania, Gintautas Paluckas mengumumkan peletakan jawatannya selepas menerima tekanan susulan hubungan perniagaannya dengan syarikat milik iparnya, pada Khamis.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, kesilapan lampau yang dilakukannya telah menjejaskan pentadbiran kerajaannya sekali gus mendorong beliau membuat keputusan untuk meletak jawatan secara "segera dan yakin".
Parti pembangkang di Lithuania mengkritik Paluckas berhubung urus niaga melibatkan sebuah syarikat miliknya bersama yang menjual bateri eletrik kepada syarikat milik iparnya menerusi dana dibiayai agensi kerajaan.
Bagaimanapun, beliau sebelum ini menafikan sebarang salah laku.
Menurut Penganalisis Politik, Institut Hubungan Antarabangsa dan Sains Politik Vilnius, pengganti Paluckas akan dipilih oleh Parti Demokrat Sosial yang kini memegang 52 daripada 141 kerusi Parlimen.
Katanya, pelantikan perdana menteri memerlukan undian majoriti di Parlimen dan Parti Demokrat Sosial dijangka berdepan kesukaran mendapat sokongan daripada dua rakan gabungan, parti kiri tengah 'For Lithuania' dan parti populis 'Nemunas Dawn', yang sering bercanggah pendapat.
"Parti-parti lain juga dilihat tidak berminat untuk menyertai kerajaan," katanya lagi.
Sementera itu, syarikat milik ipar Paluckas minggu lalu, menolak pembiayaan kerajaan namun menafikan berlaku salah laku, ketika menjelaskan urus niaga dibuat melalui tender terbuka.
Desakan supaya Paluckas berundur turut disuarakan parti 'For Lithuania' yang mengugut akan keluar daripada gabungan pemerintah sekiranya beliau enggan melepaskan jawatan. - REUTERS