PULAU PARAMUSHIR, 31 Julai - Seorang tukang masak, Roman Kripakov yang sedang bertugas di dapur ketika gempa bumi melanda Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia panik apabila gegaran berlaku yang turut menyebabkan semua kakitangan bergegas keluar dari premis untuk menyelamatkan diri.
Katanya, situasi itu sangat menakutkan dan teruk dan ia membuatkan manusia sedar bahawa bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa dan mencabar untuk dihadapi.
"Ia menakutkan, luar jangka dan membuatkan kita sedar bahawa bencana alam boleh menjejaskan kehidupan seharian sekiranya kita tidak bersedia," katanya.
Gelombang tsunami melimpah ke kawasan bandar Severo-Kurilsk selepas gempa kuat melanda pantai Semenanjung Kamchatka, Rusia / Foto REUTERS
Severo-Kurilsk yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa bumi kuat yang melanda Semenanjung Kamchatka, turut merasai gegaran selama hampir dua minit sebelum penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.
Tambah Kripakov, gegaran susulan turut berlaku setiap 30 hingga 40 minit selama kira-kira lima jam selepas kejadian.
Dalam pada itu, menurut Cawangan Kamchatka, Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Rusia,gempa bumi tersebut merupakan yang terkuat sejak tahun 1952 dan telah mencetuskan gelombang tsunami berbahaya di sepanjang pesisir pantai.
Pihak berkuasa menjangkakan gegaran susulan dengan magnitud sehingga 7.5 akan terus berlaku sekurang-kurangnya selama sebulan.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Rusia.
Beliau turut memuji ketahanan struktur bangunan serta keberkesanan sistem amaran awal yang berfungsi dengan baik. - REUTERS