SEOUL, 16 Disember- Media rasmi Korea Utara pada Isnin mengeluarkan laporan pertamanya mengenai pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dengan menyifatkannya sebagai "ketua pemberontakan" kerana usaha melaksanakan darurat tentera.
Hampir dua hari selepas undian pemecatan tersebut, agensi berita kerajaan Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA), memberikan gambaran ringkas tentang peristiwa itu tanpa memetik sebarang kenyataan rasmi daripada pegawai Korea Utara, yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri terhadap kekacauan politik di selatan.
Dalam laporan itu menyebut KCNA mendakwa Yoon cuba mengalihkan tanggungjawab terhadap "deklarasi darurat tentera yang bodoh" kepada parti pembangkang.
"Siasatan terhadap Yoon Suk Yeol, ketua pemberontakan dan sekutunya sedang dijalankan.
Mahkamah Perlembagaan "boneka" akan membuat keputusan akhir sama ada untuk menyingkirkan Yoon," kata KCNA.
Media Korea Utara sering merujuk pemimpin dan institusi Korea Selatan sebagai "boneka" kepada sekutunya iaitu Amerika Syarikat.
KCNA hanya mengulas mengenai pengisytiharan darurat tentera pada 3 Disember kira-kira seminggu selepas itu, menyifatkan Korea Selatan sebagai berada dalam keadaan "kacau-bilau" akibat arahan tersebut.
Hubungan antara kedua-dua Korea berada di tahap terendah dalam beberapa tahun, dengan Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik yang melanggar sekatan PBB.
Sejak Mei, Korea Utara juga menyerang Korea Selatan dengan belon sampah, sebagai tindak balas terhadap propaganda anti-Pyongyang yang dihantar ke utara oleh aktivis.
Korea Utara kini menjadi penyokong lantang dan penting terhadap serangan Rusia di Ukraine, dengan Washington dan Seoul menuduh negara itu menghantar lebih daripada 10,000 tentera untuk membantu Moscow.- AFP