fb fb fb fb fb

Keir Starmer ke Norway, perkukuh kerjasama hijau

Foto AFP

LONDON, 16 Disember- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer akan mengadakan lawatan ke Norway pada Isnin untuk mempromosi kerjasama industri hijau.

Ini termasuk bidang tenaga boleh diperbaharui (REE) dan penangkapan karbon bagi menangani perubahan iklim.

Lawatan tersebut berlangsung ketika kerajaan baharu Parti Buruh berusaha memenuhi komitmennya terhadap usaha menyahkarbon dan sepenuhnya pengeluaran elektrik di UK menjelang 2030.

Ini sekali gus mengurangkan pelepasan sekurang-kurangnya 81 peratus berbanding tahap 1990 menjelang 2034 dan mencapai status neutral karbon menjelang 2050.

Menurut kenyataan pejabatnya, Starmer dijangka menandatangani perjanjian rasmi pada musim bunga yang bertujuan membantu Britain merebut peluang era baharu tenaga bersih, mendorong pelaburan ke dalam UK dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk masa kini dan akan datang.

Butiran terperinci mengenai kandungan kerjasama tersebut tidak didedahkan sebelum pertemuan Starmer dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store.

Pada awal Oktober, kerajaan Parti Buruh mengumumkan pelaburan sebanyak £22 bilion (AS$28 bilion) selama 25 tahun untuk membangunkan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) di dua kawasan perindustrian lama di utara England.

Teknologi CCUS bertujuan menghapuskan pelepasan karbon yang terhasil daripada pembakaran bahan api untuk tenaga dan proses industri.

Karbon yang ditangkap akan disimpan secara kekal di persekitaran bawah tanah.

"Kerjasama kami dengan Norway akan menjadikan UK lebih terjamin dalam aspek tenaga, memastikan kita tidak lagi terdedah kepada lonjakan harga tenaga antarabangsa dan kehendak diktator seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin," kata Starmer.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, dalam kenyataan Downing Street, menyifatkan perjanjian itu sebagai penting untuk memudahkan lebih banyak peluang pekerjaan hijau di Norway dan UK serta memacu peralihan hijau.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM