NAIROBI, 28 Disember- Presiden Kenya, William Ruto, berjanji untuk menghentikan kes penculikan di negara itu.
Ia susulan gelombang terbaharu kehilangan individu, sehingga mendapat kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia, peguam, dan ahli politik.
"Saya berjanji menghentikan penculikan tetapi turut menyeru ibu bapa untuk bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka," katanya di Homa Bay, di sini.
Pasukan keselamatan di negara Afrika Timur itu dituduh melakukan puluhan penahanan secara haram sejak demonstrasi antikerajaan yang diketuai golongan belia pada Jun dan Julai.
Gelombang kehilangan terbaharu itu kebanyakannya melibatkan golongan lelaki muda yang mengkritik Ruto secara dalam talian dengan kumpulan hak asasi manusia menolak penafian polis dan menuntut tindakan segera.
Ruto telah membangkitkan isu itu dalam ucapan tahunan mengenai keadaan negara pada November lalu, mengutuk sebarang tindakan berlebihan atau di luar undang-undang.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa kebanyakan penahanan tersebut adalah tangkapan sah terhadap penjenayah dan elemen subversif.
Kemarahan rakyat terus memuncak di negara itu, dengan kes penculikan terbaharu mencetuskan protes kecil-kecilan di sekurang-kurangnya satu bandar.
Ruto mengeluarkan kenyataan itu selepas dakwaan bekas Timbalan Presiden, Rigathi Gachagua, yang menuduh kewujudan satu unit rahsia yang bertanggungjawab terhadap kehilangan individu.
"Menculik dan membunuh kanak-kanak ini bukanlah penyelesaian. Pentadbiran ini adalah yang pertama dalam sejarah negara yang menyasarkan kanak-kanak untuk penindasan," dakwa Gachagua.- AFP