(Penyokong bola sepak menunjukkan ucapan takziah kepada mangsa rempuhan/AFP)
MALANG, 3 Oktober- Sekurang-kurangnya 125 orang maut, manakala 180 lagi cedera susulan insiden rusuhan penyokong kelab bola sepak di Indonesia pada Sabtu.
Rusuhan itu berlaku selepas tamat perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Presiden Indonesia, Joko Widodo akui kesal dengan tragedi tersebut dan mahukan siasatan dilakukan hingga ke akar umbi.
"Khusus kepada KABORI, saya mahu siasatan dijalankan."
Beliau turut menegaskan, "rasa persaudaraan Indonesia harus dijaga bersama."
Semua mangsa yang dirawat di hospital perlu diberi rawatan terbaik.
Selain itu pihak berkuasa tempatan dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) diarah menilai semula prosedur keselamatan di stadium bagi menghindari tragedi menyedihkan itu daripada berulang.
(Ucapan takziah diletakkan ketika orang ramai menyalakan lilin di Jakarta/AFP)
Bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai tragedi itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA telah pun menghubungi PSSI.
Setiausaha Agungnya, Yunus Nusi berkata, laporan telah dihantar kepada badan induk tersebut bagi memberi penjelasan.
"Kami akan berkomunikasi terus dengan FIFA bagi menjelaskan perkara sebenar supaya PSSI Indonesia tidak dipersalahkan. Tetapi kita tahu bersama FIFA, AFC tidak terburu-buru dalam membuat keputusan."
Tambah beliau, wakil FIFA juga dialu-alukan untuk datang ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai insiden berkenaan.