SAN JOSE, 3 Julai – Google diperintah membayar lebih AS$314.6 juta (RM1.5 bilion) kepada pengguna San Jose, California kerana didapati menyalahgunakan data pengguna Android.
Peguam plaintif, Glen Summers memaklumkan, keputusan tersebut dibuat kumpulan juri, dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan penting bagi menunjukkan keseriusan salah laku Google.
Keputusan itu menyokong dakwaan plaintif bahawa Google, di bawah syarikat induk Alphabet, telah mengumpul dan menghantar data daripada peranti Android tanpa kebenaran pengguna, walaupun peranti berada dalam keadaan tidak aktif.
Tindakan itu dianggap membebankan pengguna secara 'wajib dan tidak dapat dielakkan' demi kepentingan syarikat.
Tuntutan saman berkelompok itu difailkan pada 2019 bagi mewakili sekitar 14 juta penduduk California yang menggunakan peranti Android.
Mereka mendakwa Google mengumpul data daripada telefon yang tidak digunakan untuk tujuan seperti pengiklanan sasaran, seterusnya menggunakan data mudah alih pengguna tanpa pengetahuan mereka.
Google bagaimanapun, menafikan berlaku sebarang kerosakan kepada pengguna dan berkata, mereka telah bersetuju dengan pemindahan data itu melalui terma perkhidmatan dan dasar privasi syarikat.
Jurucakap Google, Jose Castaneda berkata, syarikat akan membuat rayuan kerana keputusan juri itu sebagai 'salah faham terhadap perkhidmatan penting untuk keselamatan dan prestasi peranti Android'.
Sementara itu, satu lagi kumpulan pengguna telah memfailkan tuntutan serupa di Mahkamah Persekutuan San Jose mewakili pengguna Android di 49 negeri lain.
Perbicaraan kes tersebut dijadual pada April 2026. - REUTERS