CALIFORNIA, 4 Julai - Lebih daripada 300 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran besar di negeri itu, yang berdepan ancaman kebakaran hutan musim panas.
Kebakaran yang dinamakan"Madre Fire" itu tercetus pada Rabu di San Luis Obispo, sebuah daerah luar bandar.
Kira-kira 200 penduduk diarahkan berpindah, dengan puluhan bangunan musnah akibat api yang marak.
Ia merupakan kebakaran terbesar setakat tahun ini di California, yang sebelum ini mengalami siri kebakaran memusnahkan sebahagian besar kawasan di Los Angeles pada awal tahun.
Menurut Perkhidmatan Bomba Negeri, Cal Fire, kebakaran itu merebak dengan pantas dalam tempoh kurang daripada 24 jam, lebih 35,000 ekar kawasan telah musnah.
Imej daripada sistem amaran negeri menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan pergunungan.
Dalam pada itu, Gabenor California, Gavin Newsom di platform X, mengumumkan penghantaran pasukan bantuan tambahan.-AFP