fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Turkiye, angka korban meningkat kepada dua

Foto Reuters

IZMIR, 4 Julai- Kebakaran hutan yang berlarutan selama tujuh hari di wilayah Izmir, Turkiye telah meragut dua nyawa termasuk seorang pengendali jentera yang maut ketika cuba memadam api di daerah Odemis.

Sebelum itu, seorang warga emas berusia 81 tahun turut terkorban apabila api marak ke rumahnya.

Datuk Bandar Izmir, Cemil Tugay dilihat turun padang pada malam Khamis bagi menyelia usaha pemadaman, ketika pasukan bomba menggunakan helikopter dan pesawat bagi memadam kebakaran di kawasan berbukit.

Beberapa jalan ke kawasan pelancongan Cesme turut ditutup bagi mengelakkan risiko kepada orang awam.

Dalam pada itu, sebuah kumpulan tidak dikenali yang menggelar diri mereka “Children of Fire” mengaku bertanggungjawab terhadap puluhan kebakaran di enam bandar.

Mereka mendakwa mempunyai kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), kumpulan penentang yang diharamkan Turkiye, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Namun, PKK belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, kebakaran yang melanda barat Turkiye itu turut menyebabkan kerosakan pada sekitar 200 kediaman dan mangsa telah diberikan penempatan alternatif.

Kira-kira 50,000 orang juga dipindahkan sementara akibat kebakaran yang dipacu oleh suhu tinggi, kelembapan rendah dan angin kencang.

Turkiye kini berdepan cuaca panas melampau, faktor yang mendorong kebakaran lebih luas selari dengan negara-negara Mediterranean lain seperti Greece.

Para saintis menyifatkan rantau itu sebagai kawasan paling terdedah kepada kebakaran hutan, dengan risiko semakin meningkat akibat perubahan iklim.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM