SYDNEY, 4 Julai - Kedutaan China di Fiji menegaskan Beijing tidak mencari pangkalan tentera di Pasifik Selatan, sebaliknya bantuan yang dijanjikan bertujuan membangun negara pulau itu serta "tiada niat politik".
Perdana Menteri Fiji Sitiveni Rabuka memberi amaran terhadap sebarang usaha China untuk menubuhkan kubu tentera di wilayah itu.
"Jika mereka mahu datang, siapa yang akan mengalu-alukan mereka? Bukan Fiji dan saya fikir China memahaminya dengan baik." kata Rabuka dalam ucapan di Australia.
Kedutaan China menyalahkan wartawan kerana menjaja "naratif palsu" mengenai cita-cita ketenteraannya.
"Tiada rentetan politik yang terikat dengan bantuan China, tidak memaksakan kehendak seseorang kepada orang lain, dan tiada janji kosong.
Dakwaan tentang 'China menubuhkan pangkalan tentera di Pasifik' adalah naratif palsu.
"Mereka tidak berasas dan didorong oleh motif tersembunyi." kata jurucakap kedutaan dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial Khamis.
China memeterai pakatan keselamatan rahsia dengan negara Pasifik Kepulauan Solomon pada 2022.
Walaupun butirannya tidak pernah diterbitkan, Amerika Syarikat dan sekutu rapat Australia bimbang ia mungkin merupakan permulaan kepada beberapa lokasi pangkalan tetap China.
Jurucakap kedutaan China berkata Beijing tidak akan sekali-kali memaksa negara kepulauan Pasifik untuk mengorbankan kedaulatan mereka.
"Kehadiran China di Pasifik tertumpu kepada pembinaan jalan raya dan jambatan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, bukan untuk menempatkan tentera atau menubuhkan pangkalan tentera.
Beijing telah membelanjakan ratusan juta dolar untuk membina stadium sukan, istana presiden, hospital dan jalan raya di negara kepulauan Pasifik." katanya
Kiribati, Kepulauan Solomon dan Nauru dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memutuskan hubungan diplomatik yang telah lama terjalin dengan Taiwan demi China.-AFP