fb fb fb fb fb

China menolak kebimbangan Eropah mengenai nadir bumi

Foto Reuters

BERLIN, 4 Julai - China menolak kebimbangan Eropah mengenai sekatan eksport nadir bumi pada Khamis dan menyatakan ia adalah amalan standard untuk mengawal eksport barangan dwiguna dengan keperluan Eropah boleh dipenuhi jika permohonan dikemukakan.

Menteri luar Wang Yi bercakap di Berlin semasa sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Jerman, pada pusingan kedua jelajah Eropah yang bertujuan untuk meletakkan asas bagi sidang kemuncak antara EU dan pemimpin China akhir bulan ini.

"Nadir bumi tidak pernah dan tidak akan menjadi masalah antara China dan Eropah, atau antara China dan Jerman, selagi prosedur kawalan eksport biasa diiktiraf dan dipenuhi, maka keperluan biasa Eropah dan Jerman juga boleh dipenuhi." kata Wang.

China, yang mengawal lebih 90% kapasiti pemprosesan global untuk nadir bumi yang digunakan dalam pelbagai industri telah mengenakan sekatan pada awal April yang memerlukan pengeksport mendapatkan lesen daripada Beijing.

Menteri Luar Jerman Johann Wadephul berkata sekatan itu menyebabkan "kebimbangan besar" dan mencemarkan imej China di Jerman sebagai rakan perdagangan yang boleh dipercayai selain menggesa Wang untuk berusaha mencari penyelesaian mengenai perkara itu.

Tetapi apabila ditanya sama ada persetujuan boleh dicapai mengenai sekatan menjelang sidang kemuncak EU-China, Wang berkata bahawa ia bukan isu antara China dan Eropah.

"Adalah amalan biasa di peringkat antarabangsa untuk mengawal barangan dwiguna. China dan Jerman mempunyai hak untuk berbuat demikian. Negara lain juga berhak.

Kementerian Perdagangan China sudah mempunyai prosedur pantas untuk memastikan kelulusan biasa diproses secepat mungkin." katanya.-REUTERS.

AZRUL FAIZAL JUSOH