fb fb fb fb fb

Presiden Iran gesa pemimpin negara Islam gelar Israel 'pertubuhan pengganas'

Presiden Iran Ebrahim Rais/AFP

RIYADH, 11 November- Presiden Iran Ebrahim Raisi menggesa pemimpin negara Islam untuk menggelarkan tentera Israel sebagai 'pertubuhan pengganas', berhubung operasi rejim zionis di Semenanjung Gaza.

“Kerajaan Islam harus menetapkan tentera rejim penjajah dan penceroboh sebagai pertubuhan pengganas,” katanya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Arab dan Islam di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.

Mesyuarat Tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan selepas tercetusnya konflik Palestin-Israel pada awal bulan lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan Israel menyebabkan lebih 11,000 orang yang kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak terkorban.

Dalam lawatan pertamanya ke Riyadh sejak Iran dan Arab Saudi bersetuju untuk memulihkan hubungan pada Mac lalu, Raisi menggesa negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Israel untuk memutuskan hubungan dan menggesa sokongan yang lebih besar kepada rakyat Palestin.

Beliau menggesa memutuskan sebarang hubungan politik atau ekonomi dengan rejim Zionis sebagai langkah penting yang perlu diambil oleh negara Islam.

Tambahnya, tindakan boikot perdagangan terhadap rejim Zionis khususnya dalam sektor tenaga harus diutamakan.

Beliau juga mengecam tindakan Amerika Syarikat kerana memberikan sokongan kewangan dan ketenteraan kepada Israel.

"Kedua-dua jentera perang rejim zionis dan bahan apinya adalah milik Amerika. Tidak dinafikan, kerajaan AS adalah pemimpin dan sekutu untuk jenayah ini", katanya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN