fb fb fb fb fb

Presiden Ecuador isytihar darurat tiga wilayah ekoran protes berterusan orang asli

QUITO, 18 Jun- Presiden Ecuador Guillermo Lasso mengisytiharkan darurat di tiga wilayah lewat Jumaat sebagai tindak balas kepada protes oleh orang asli yang menuntut pemotongan harga bahan api.

“Saya komited untuk mempertahankan ibu negara kita dan negara kita,” kata Lasso di televisyen. Salah satu daripada tiga wilayah termasuk ibu kota Quito.

Dekri itu membolehkan presiden memanggil angkatan tentera untuk mengekalkan ketenteraman, menggantung hak sivil dan mengisytiharkan perintah berkurung.

Orang asli, yang membentuk lebih sejuta daripada 17.7 juta penduduk Ecuador, melancarkan protes antikerajaan terbuka pada Isnin yang telah disertai oleh pelajar, dan golongan pekerja.

Mereka telah menyekat jalan raya di seluruh negara termasuk lebuh raya menuju ke Quito.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan semasa protes telah menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang cedera dan 37 individu ditangkap.

Untuk meredakan kemarahan rakyat, Lasso turut mengumumkan peningkatan kecil dalam subsidi bulanan yang dibayar kepada golongan termiskin di Ecuador, serta program untuk mengurangkan hutang mereka yang mempunyai pinjaman daripada bank-bank kerajaan.

Ecuador, negara pengeluar minyak telah dilanda oleh peningkatan inflasi, pengangguran dan kemiskinan yang diburukkan lagi oleh wabak COVID-19.

Lasso, bekas pegawai bank baru memegang jawatan Presiden setahun lalu, telah bertemu dengan pemimpin orang asli pada Khamis untuk meredakan rasa tidak puas hati mereka tetapi perbincangan itu nampaknya tidak membuahkan hasil.

Konfederasi Kewarganegaraan Orang Asli Ecuador (Conaie) yang menggesa protes itu, berkata mereka akan mengekalkan sekatan sehingga kerajaan memenuhi senarai 10 tuntutan.

Harga bahan api di Ecuador telah meningkat dengan mendadak sejak 2020, hampir dua kali ganda untuk diesel daripada AS$1 kepada AS$1.90 segelen (3.8 liter) dan meningkat daripada AS$1.75 kepada AS$2.55 untuk petrol.

Conaie yang dikatakan berpengaruh besar dalam membantu menjatuhkan tiga presiden Ecuador antara 1997 dan 2005 mahu harga dikurangkan kepada AS$1.50 untuk diesel dan AS$2.10 untuk petrol, namun permintaan itu ditolak kerajaan setakat ini.

Tuntutan lain termasuk kawalan harga makanan dan rundingan semula pinjaman bank peribadi kira-kira empat juta keluarga.-AFP


(Polis rusuhan berdepan penunjuk perasaan di sekatan jalan raya di lebuh raya Ruta Viva,
dalam rangka protes yang diketuai orang asli)

FOTO AFP

Media Baharu