fb fb fb fb fb

Presiden Colombia minta semua menteri letak jawatan

Gustavo Petro/AFP

BOGOTÁ, 10 Februari- Presiden Colombia Gustavo Petro meminta semua menteri dan pegawai kanan kerajaan meletakkan jawatan susulan ketegangan dalam pentadbiran selepas beliau mengkritik prestasi kabinet secara terbuka di televisyen negara.

Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Petro berkata perubahan kabinet diperlukan bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lancar.

"Saya telah meminta peletakan jawatan menteri dan pengarah jabatan pentadbiran. Akan ada beberapa perubahan dalam kabinet bagi memastikan pematuhan lebih baik terhadap program yang diamanahkan oleh rakyat," katanya.

Sehingga Ahad malam, tiga menteri dan dua pegawai kanan kerajaan telah meletakkan jawatan termasuk Menteri Buruh Gloria Ramirez yang mengumumkan peletakan jawatannya di media sosial.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar Susana Muhamad menjadi anggota kabinet kedua melepaskan jawatan selepas mesyuarat kabinet yang mencetuskan ketegangan.

Menteri Kebudayaan Juan David Correa serta Ketua Agensi Negara DAPRE, Jorge Rojas turut mengambil langkah sama.

Ketidakpuasan hati dalam pentadbiran Petro turut berpunca daripada kehadiran penasihat rapatnya, Armando Benedetti dalam mesyuarat kabinet.

Benedetti kini disiasat berhubung pembiayaan kempen secara tidak sah serta tuduhan keganasan rumah tangga oleh bekas isterinya.

Selain itu, beberapa menteri turut menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Laura Sarabia sebagai Menteri Luar Negeri.

Sarabia, bekas ketua kakitangan Petro, sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah dan siasatan berhubung pemantauan secara haram terhadap pengasuhnya.

Krisis politik itu berlaku hanya beberapa minggu selepas beberapa anggota kabinet baharu dilantik termasuk Menteri Kewangan, Maklumat dan Pengangkutan. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA