fb fb fb fb fb

Presiden AS puji Aoun pemimpin yang tepat untuk Lubnan

Joseph Aoun dipilih Presiden Lubnan/ AFP

WASHINGTON, 10 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, menyambut baik pemilihan Joseph Aoun sebagai Presiden Lubnan pada Khamis.

Beliau menyatakan bahawa ketua tentera itu adalah pemimpin yang tepat untuk negara yang dilanda peperangan itu.

"Presiden Aoun mendapat kepercayaan saya. Saya amat yakin beliau adalah pemimpin yang tepat pada masa ini," kata Biden.

Tambahnya, Aoun akan menerajui kepimpinan berhubung gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah.

Pemilihan Aoun oleh Ahli Parlimen Lubnan menamatkan kekosongan jawatan selama lebih dua tahun dan menjadi langkah awal ke arah memulihkan negara daripada kemelesetan kewangan.

"Kita akhirnya mempunyai seorang presiden," kata Biden selepas Mesyuarat Tindak Balas Terhadap Kebakaran Hutan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Katanya beliau telah berkomunikasi dengan Aoun menerusi panggilan telefon serta menggambarkan pemimpin Lubnan itu sebagai seorang yang sangat berkaliber.

Sementara itu, Setiausaha Negara, Antony Blinken, menyifatkan pemilihan Aoun sebagai detik bersejarah yang memberikan Lubnan peluang untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Aoun yang akan menyambut ulang tahun ke-61 pada Jumaat, berdepan tugas sukar berhubung gencatan senjata dengan Israel di selatan Lubnan.

Beliau juga perlu melantik seorang perdana menteri yang berkeupayaan melaksanakan reformasi yang dituntut oleh pemiutang antarabangsa sebagai syarat untuk mendapatkan pakej bantuan yang sangat diperlukan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN