PARIS, 10 Januari- Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan 'The Lancet' pada Jumaat menganggarkan bahawa angka kematian di Gaza dalam tempoh sembilan bulan pertama konflik Israel-Hamas adalah kira-kira 40 peratus lebih tinggi daripada yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Wilayah Palestin itu.
Jumlah kematian di Gaza telah menjadi isu perdebatan hangat sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Hamas sebagai tindak balas kepada serangan luar biasa kumpulan Hamas pada Oktober 2023.
Sehingga 30 Jun tahun lalu, Kementerian Kesihatan kendalian Hamas melaporkan angka kematian sebanyak 37,877 dalam konflik berterusan tersebut.
Bagaimanapun, kajian baharu oleh kumpulan penyelidik yang menggunakan data daripada kementerian, tinjauan dalam talian dan maklumat kematian di media sosial menganggarkan terdapat antara 55,298 hingga 78,525 kematian akibat kecederaan traumatik di Gaza pada masa itu.
Anggaran terbaik dalam kajian tersebut mencatatkan 64,260 kematian. Ini bermakna Kementerian Kesihatan telah melaporkan angka kematian 41 peratus lebih rendah daripada jumlah sebenar.
"Jumlah itu mewakili 2.9 peratus daripada populasi Gaza sebelum konflik atau kira-kira satu daripada setiap 35 penduduk," menurut kajian tersebut.
Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh UK menganggarkan bahawa 59 peratus daripada kematian adalah melibatkan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Angka tersebut hanya merangkumi kematian akibat kecederaan traumatik dan tidak termasuk kematian akibat kekurangan penjagaan kesihatan atau makanan atau ribuan individu yang hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Terbaharu, pada Khamis, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 46,006 orang terkorban dalam tempoh 15 bulan konflik.
Dalam pada itu, Israel berulang kali mempertikaikan laporan Kementerian Kesihatan Gaza, namun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa angka tersebut boleh dipercayai.-AFP