fb fb fb fb fb

Krisis kebuluran di Gaza semakin parah - OCHA

Foto REUTERS

NEW YORK, 10 Januari- Krisis kelaparan di Gaza semakin meruncing akibat kekurangan bekalan, sekatan akses yang ketat, dan kejadian rompakan bersenjata yang ganas, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA).

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), OCHA menyatakan bahawa rakan-rakan kemanusiaan di Gaza tengah telah kehabisan semua stok bekalan makanan pada Ahad lalu.

"Pihak berkuasa Israel terus menghalang kebanyakan permohonan untuk membenarkan bantuan makanan melalui pusat pemeriksaan Erez di barat untuk sampai ke kawasan selatan Gaza.

"Laporan itu turut menegaskan bahawa kira-kira 120,000 tan metrik bantuan makanan yang mencukupi untuk penduduk Gaza selama tiga bulan, masih tersekat di luar wilayah itu," menurut laporan harian OCHA.

Rakan kemanusiaan memberi amaran bahawa tanpa penghantaran bekalan tambahan dan pengagihan pek makanan, kebuluran akan terus melanda penduduk Gaza.

Lebih 50 dapur komuniti yang menyediakan lebih 200,000 hidangan harian di Gaza tengah dan selatan juga berisiko ditutup dalam beberapa hari akan datang.

Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan bahawa, setakat Isnin, hanya lima daripada 20 kedai roti yang mereka sokong masih beroperasi, kesemuanya di bandar Gaza.

Kedai roti itu bergantung kepada penghantaran bahan api berterusan daripada rakan kongsi di Gaza selatan untuk kekal beroperasi.

OCHA turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api akan melumpuhkan sistem kesihatan Gaza yang telah terjejas teruk, sekali gus membahayakan nyawa pesakit.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terus berusaha untuk memasuki utara Gaza, tetapi usaha itu terus dihalang oleh pihak berkuasa Israel, yang semakin memburukkan krisis.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM