BUENOS AIRES, 15 Mei- Presiden Argentina, Javier Milei, mengeluarkan satu dekri pada Rabu bagi memperketatkan kemasukan imigran ke negara Amerika Selatan itu, termasuk mengenakan ptindakan tegas terhadap individu yang mempunyai rekod jenayah serta mewajibkan insurans kesihatan.
Pejabat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan dana awam digunakan sepenuhnya untuk manfaat pembayar cukai tempatan.
Jurucakap Presiden Argentina Manuel Adorni, berkata penduduk bukan tetap akan diwajibkan membayar sendiri bagi sebarang perkhidmatan kesihatan yang diterima di pusat kesihatan awam.
"Bermula sekarang, mana-mana individu yang telah dijatuhkan hukuman dan cuba memasuki negara melalui sempadan akan ditolak oleh pihak imigresen. Mereka yang ditangkap sekiranya melakukan jenayah atau memasuki melalui laluan tidak sah akan diusir serta-merta. Individu yang memberikan maklumat palsu semasa proses kemasukan juga akan diusir keluar.
"Argentina tidak akan menjadi lokasi untuk kemasukan penjenayah. Selain itu, mana-mana individu yang telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan jenayah akan dihantar pulang ke negara asal," katanya.
Universiti awam juga akan dibenarkan mengenakan bayaran kepada pelajar asing. Dekri tersebut akan dikemukakan ke Kongres untuk kelulusan.- Reuters