GAZA, 15 Mei- Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan kejam rejim Zionis Israel di Gaza meningkat kepada 52,928 sejak Oktober 2023, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa jumlah kecederaan kini meningkat kepada 119,846 orang.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, seramai 20 penduduk Palestin terbunuh manakala 125 yang lain cedera susulan serangan berterusan tentera Israel di wilayah berkenaan.
Menurut laporan dari saluran berita Al Jazeera dan media tempatan Palestin, gelombang serangan udara Israel yang dilancarkan awal pagi Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya 80 nyawa.
Di kawasan Jabalia, utara Gaza, majoriti mangsa dilaporkan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Pada hari sama, Hamas mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pengeboman terhadap orang awam Palestin sambil menyatakan bahawa Israel sengaja melakukan "pembunuhan beramai-ramai".
Turut dilaporkan pada Rabu, delegasi Israel mengadakan rundingan secara tidak langsung dengan Hamas di Qatar, Doha, bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata baharu serta pembebasan tahanan.- Reuters