TEXAS, 14 Mei- Seorang pelajar Universiti Georgetown dari India yang sebelum ini ditahan susulan penglibatannya dalam aktivisme pro-Palestin, dibebaskan dari pusat tahanan di Texas selepas diarahkan hakim persekutuan Amerika Syarikat.
Sorakan kegembiraan kedengaran apabila Badar Khan Suri keluar dari Pusat Tahanan Prairieland di Alvarado, tempat beliau ditahan sejak Mac lalu.
Suri ditahan oleh pihak imigresen atas dakwaan menyebarkan propaganda Palestin dan sentimen antisemitisme.
Pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan menyasarkan warga asing termasuk Suri yang menyertai protes menyokong Palestin dan menentang tindakan Israel, dalam peperangan di Gaza.
Tindakan itu mengundang kritikan daripada kumpulan hak sivil dan pertubuhan advokasi pendatang yang menuduh kerajaan AS bertindak tidak adil terhadap pengkritik politik.
Menurut dokumen mahkamah hakim daerah Amerika Syarikat, Patricia Tolliver Giles, yang sebelum ini telah mengeluarkan arahan melarang pengusiran Suri, memerintahkan agar beliau dibebaskan atas jaminan diri ke Virginia dari pusat tahanan di Texas.
Giles turut menetapkan bahawa Suri tidak boleh ditahan semula tanpa notis 48 jam kepada mahkamah dan pasukan peguamnya.- Reuters