TEXAS, 15 Mei- Beberapa bahagian di barat, selatan dan tengah Texas kini dilanda gelombang haba luar biasa sehingga menjadikan kawasan itu terasa seperti "ketuhar pembakar", menurut seorang pakar sains di Austin, Texas, susulan peningkatan suhu sehingga mencatat rekod baharu kira-kira 37 darjah Celsius beberapa minggu sebelum musim panas bermula.
Menurut Pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Austin-San Antonio suhu berkenaan mengatasi rekod harian sebelum ini iaitu 35.5 darjah Celsius yang dicatat pada 14 Mei 2003.
Sementara itu Profesor Sains Bumi dan Planet di Universiti Texas, Dev Niyogi, menjelaskan bahawa cuaca panas luar biasa itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk kehadiran kubah tekanan tinggi di rantau tersebut, kemarau yang menyebabkan tanah menjadi kering dan panas, serta tiupan angin panas dari selatan.
"Kita sedang menyaksikan suhu yang sangat tinggi ketika ini, dan berkemungkinan akan memecah rekod kerana sudah lama kita tidak mengalami suhu setinggi 37.7 atau 40 darjah Celsius seawal musim ini. Namun, keadaan ini berlaku disebabkan beberapa faktor yang sedang berlaku serentak.
"Terdapat sistem tekanan rendah di sebelah timur dan barat kawasan kita, menyebabkan terbentuknya kubah tekanan tinggi yang menghasilkan langit biru cerah. Namun, fenomena ini juga membawa masuk haba dan sinaran terus ke kawasan kita.
"Selain itu, permukaan tanah yang kering akibat kemarau turut menyumbang kepada peningkatan suhu kerana tanah yang kering mudah menyerap dan memantulkan haba. Ditambah pula dengan tiupan angin panas dari arah selatan, ibarat pemanas yang diarahkan terus kepada kita pada waktu kita perlukan udara yang lebih sejuk.
"Justeru, gabungan faktor tiada awan, permukaan tanah yang sangat kering, serta angin panas dari selatan menyebabkan kawasan ini terasa seperti berada dalam ketuhar," katanya.
Di Barton Springs, sebuah kolam rekreasi terkenal di Austin, seorang pembangun perisian berusia 45 tahun, Mark Verville, yang baru menamatkan larian sejauh 9.6 kilometer berkata, beliau tidak menjangka cuaca panas seperti itu pada waktu ini.
"Ya, ini agak awal, kebiasaannya kita mengalami suhu sebegini sekitar bulan Jun, Julai dan Ogos, bukan pada bulan Mei. Suhu ketika ini agak melampau," katanya.
NWS turut mengeluarkan amaran gelombang haba untuk sebahagian besar kawasan Texas. Agensi itu turut memaklumkan bahawa Pada 1998 rekod suhu tertinggi sepanjang bulan Mei bagi kawasan tersebut ialah 38.8 darjah Celsius.- Reuters