ST. PETERSBURG, 21 Jun - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan hasrat untuk melihat lebih banyak penglibatan Rusia dalam ekonomi negaranya.
Pernyataan itu dibuat sehari selepas beliau menandatangani deklarasi bersama Presiden Vladimir Putin, bagi membentuk satu perkongsian strategik.
"Kami sudah mengenali syarikat-syarikat korporat Rusia dan kami ingin melihat Rusia lebih terlibat dalam ekonomi kami," katanya.
Tambah beliau, Indonesia yang mengamalkan dasar berkecuali, amat menghargai kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Ia sesuai dengan momentum Indonesia ketika ini yang menghala ke arah matlamat kecukupan makanan serta menjadi pengeksport bersih bagi beras dan jagung, dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg pada Jumaat. - AFP