JAKARTA, 27 Disember- Menteri Pertahanan dan Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendahului kedudukan pilihan raya selepas perbahasan di televisyen yang turut disertai oleh semua calon bertanding menjelang pilihan raya 14 Februari depan.
Menerusi tinjauan dilakukan oleh Indikator Politik Indonesia antara 23 hingga 24 Disember itu menunjukkan Prabowo yang bertanding bersama anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka mendapat 46.7 peratus menurut indikator dikeluarkan pada Selasa.
Bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo muncul pesaing terdekat dengan 24.5 peratus, manakala bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan memperolehi 21 peratus.
Undian yang dikeluarkan Kompas memberikan Prabowo 39.3 peratus, manakala Anies dengan 16.7 peratus, diikuti Ganjar 15.3 peratus.
Tinjauan indikator berkenaan dilakukan selepas tamat perbahasan televisyen di antara calon Presiden pada 12 Disember dan calon Naib Presiden pada 22 Disember.
Sementara itu, ketika perbahasan di televisyen, Calon Naib Presiden, Gibran mempertahankan agenda ekonomi yang diperkenalkan ayahnya, Jokowi, terutamanya pembinaan ibu kota baharu di Kalimantan.
Tiga perbahasan dijangka diadakan sebelum pilihan raya.
Keputusan mahkamah perlembagaan Indonesia pada Oktober yang membenarkan Gibran untuk bertanding dalam pilihan raya, menimbulkan kebimbangan terhadap politik dinasti di negara yang mempunyai seramai 273.8 juta penduduk. -REUTERS