JAKARTA, 15 Februari- Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto semakin memenuhi jangkaan untuk menjadi presiden baharu bagi negara demokrasi ketiga terbesar dunia tersebut.
Semalam, bekas jeneral berusia 72 tahun itu mengisytiharkan kemenangan selepas kiraan undi bukan rasmi menunjukkan beliau mendahului pesaing lain yang mungkin menyaksikan kemenangannya dalam satu pusingan.
Penyokong Prabowo bersorak dan menari di luar kediamannya di sini bagi meraikan perkembangan berkenaan.
Kiraan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) juga menunjukkan Prabowo berada pada landasan untuk jawatan presiden apabila mendahului sebanyak 55.97 peratus undi iaitu lebih dua kali ganda daripada pesaing terdekatnya.
Ia membabitkan 39 peratus kertas undi yang sudah dikira oleh pihak KPU, setakat ini.
"Kemenangan ini sepatutnya menjadi kemenangan untuk semua rakyat Indonesia," kata Prabowo yang disahut sorakan penyokongnya.
Jelasnya, beliau akan membentuk kerajaan yang terdiri daripada golongan muda lelaki dan wanita.
Sebelum ini, Prabowo kalah dalam dua pilihan raya presiden kepada pemimpin popular, Joko Widodo. -AFP