fb fb fb fb fb

Portugal bergelut tangani kebakaran hutan ketika negara dilanda gelombang haba

(Kira-kira 1.500 anggota bomba telah dikerah untuk memadamkan tiga kebakaran hutan
yang marak selama lebih 48 jam di tengah dan utara Portugal, ketika negara itu
dilanda gelombang haba/AFP)


OUREM, 11 Julai- Kira-kira 2,800 anggota bomba dikerah memadamkan kebakaran hutan di Portugal, ketika negara itu dilanda gelombang haba yang memaksa kerajaan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan sejak Khamis lalu memusnahkan sekurang-kurangnya dua rumah dan sekitar 250 lokasi kebakaran dilaporkan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Tragedi berlaku ketika fenomena gelombang haba melanda Portugal dengan suhu mencapai lebih 40 darjah Celsius minggu ini dan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Saintis berkata, cuaca melampau seperti gelombang haba dan kemarau dikaitkan dengan perubahan iklim, malah bencana itu dijangka kerap berlaku, berpanjangan dan lebih buruk pada masa akan datang.

Kerajaan Portugal semalam mengeluarkan amaran kecemasan bagi memastikan pasukan penyelamat sentiasa bersedia.

Agensi Perlindungan Awam berkata, kira-kira 1,500 anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Ourem, Pombal dan Carrazeda de Ansiaes.

"Api merebak kira-kira 50 meter daripada lokasi sebelum ini. Semuanya musnah terbakar," kata pesara, Donzilia Marques dari Travessa de Almogadel.

Lebih 700 anggota tentera turut dikerah ke lokasi kebakaran semalam selepas kebakaran memusnahkan kira-kira 1,500 hektar tanaman.

 Kebakaran itu juga menyebabkan kira-kira 40 anggota bomba dan orang awam cedera, kebanyakannya mengalami masalah pernafasan dan keletihan.

Susulan kebakaran itu, Perdana Menteri, Antonio Costa membatalkan lawatannya ke Mozambique.

((Kebakaran hutan  di salah satu wilayah di Portugal, 10 Julai 2022/AFP)


Kerajaan turut meminta Kesatuan Eropah (EU) menggerakkan mekanisma perlindungan awam bersama membenarkan Portugal mengakses dua kapal terbang pengangkut air yang berpangkalan di Sepanyol.

"Kami berdepan bencana meteorologi luar jangka," kata Komander Perlindungan Awam Kebangsaan, Andre Fernandes. - AFP

Media Baharu