fb fb fb fb fb

Macau tutup semua kasino, saham menjunam

(Semua kasino di Macau akan ditutup selama seminggu
bagi membendung penularan semula/AFP)


HONG KONG, 11 Julai- Saham kasino Macau menjunam apabila bandar China itu memulakan perintah berkurung selama seminggu untuk membendung wabak COVID-19 terburuknya.

Hong Kong turut mengumumkan pihaknya sedang mempertimbangkan sistem kod kesihatan mengambil contoh diamalkan tanah besar China bagi menangani penularan wabak berkenaan.

Harga saham bagi enam konglomerat hiburan di bandar itu Sands China, Galaxy Entertainment, SJM Holdings, Melco International, MGM China dan Wynn Macau turun antara enam hingga sembilan peratus dalam dagangan pada pagi Isnin.

Macau menutup semua kasinonya buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun pada ketika pihak berkuasa bergelut untuk membendung wabak COVID-19 yang paling teruk di hab perjudian terbesar di dunia itu.

Lebih 30 kasino di bandar ini, bersama-sama perniagaan lain yang tidak penting akan ditutup selama seminggu dan orang ramai diarahkan untuk tinggal di rumah.

Pihak berkuasa mengumumkan penutupan selama seminggu bermula Isnin selepas merekodkan lebih 1,500 jangkitan dalam tempoh tiga minggu lalu walaupun beberapa pusingan ujian besar-besaran wajib dilakukan terhadap 650,000 penduduk di bandar itu.

Semua penduduk diarah tinggal di rumah kecuali untuk keluar membeli barangan keperluan harian tetapi perlu melepasi diuji untuk virus itu.

Mereka yang ingkar dan melanggar peraturan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Sesetengah perkhidmatan awam dan perniagaan seperti pasar raya dan farmasi dibenarkan terus dibuka, dan hanya orang yang mempunyai kebenaran khas atau kod kesihatan berisiko rendah boleh menggunakan pengangkutan awam.

China menggunakan aplikasi kod kesihatan mandatori untuk mengesan pergerakan orang ramai bagi mengekang penularan wabak.

Hanya mereka yang mempunyai kod hijau boleh bergerak dengan bebas.

Ia adalah sistem yang kini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Hong Kong untuk digunakan, kata menteri kesihatan baharu Lo Chung-mau pada Isnin.

"Apa yang dipanggil kebebasan kadang-kadang mudah disalahg guna dengan mementingkan diri sendiri.

(Harga saham bagi enam konglomerat hiburan di bandar itu Sands China, Galaxy Entertainment, SJM Holdings,
Melco International, MGM China dan Wynn Macau turun antara enam hingga sembilan peratus dalam dagangan pada pagi Isnin/AFP)


"Orang yang dijangkiti tidak sepatutnya mempunyai kebebasan untuk pergi ke mana sahaja mereka mahu dan menjejaskan kesihatan kita." kata Lo kepada radio RTHK.

Hab perniagaan itu mula menggunakan model sifar COVID-19 versi yang lebih ringan, didakwa menjadi punca ekonomi bandar berkenaan terjejas.

Ketua Eksekutif baharu,John Lee telah berikrar untuk menghapuskan jangkitan dan memulihkan semula hubungan yang terjejas dengan tanah besar dan dunia luar.

Untuk melakukan itu, pihak berkuasa mungkin perlu menggunakan lebih banyak pemantauan dan mengamalkan operasi pematuhan standard mengikut cara tanah besar terhadap penduduk.

Hong Kong pada masa ini menggunakan aplikasi telefon mudah alih yang kurang ketat berbanding aplikasi di tanah besar, yang menyimpan rekod vaksinasi penduduk dan digunakan untuk mendaftar masuk ke perniagaan tempat awam. -AFP

Media Baharu