fb fb fb fb fb

Polis Thailand serbu pusat panggilan 'scammer' dalam talian terbesar

Polis Thailand bersama barang bukti hasil serbuan di dua lokasi membabitkan rumah di Daerah District/Foto Facebook Cyber Crime Investigation Bureau Thailand

 BANGKOK, 30 Mac - Polis Thailand menyerbu pusat panggilan 'scammer' dalam talian yang terbesar serta menahan 63 individu dalam siri operasi di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, kelmarin.

Asisten Komander Polis, Leftenan Jeneral Thatchai Pitaneelaboot yang bertanggungjawab mengintegrasikan pasukan dalam operasi itu, berkata kegiatan pusat panggilan terbabit berjaya dibongkar hasil siasatan proaktif oleh polis dengan kerjasama Pejabat Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional (NBTC) serta Jabatan Penyiasatan Khas (DSI).

Beliau berkata, lokasi serbuan pertama adalah sebuah hotel di Subdaerah Chandi, Daerah Chawang di Wilayah Nakhon Si Thammarat, disusuli dua lokasi membabitkan rumah di Daerah District.

"Siasatan lanjut diperluaskan ke gudang menjual produk Jepun yang terpakai di kawasan Daerah Na Bon, Wilayah Nakhon Si Thammarat, di mana suspek dan sejumlah besar bukti dijumpai.

"Hasil siasatan juga mengesan hubung kait bahawa tempat itu digunakan sebagai pangkalan untuk sindiket pusat panggilan antarabangsa.

"Berikutan itu, seramai 63 suspek ditahan membabitkan 12 warga Thailand dan 51 lagi warganegara lain," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Thatchai berkata, polis turut merampas pelbagai barangan, termasuk komputer, telefon bimbit, kad SIM dan buku akaun bank.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati satu sindiket jenayah rentas negara telah mewujudkan pangkalannya di wilayah selatan itu.

"Geng terbabit dianggap sebagai organisasi jenayah berskala besar. Kali ini, atase polis Jepun serta China turut menyertai penyiasatan bagi mengesan sebarang peluasan jenayah ke China dan Jepun," katanya.

Nakhon Si Thammarat terletak kira-kira 610 kilometer selatan Bangkok.

GRACE AISYAH KEDAYAN