BEIRUT, 30 Mac - Serangan Israel di selatan Lubnan semalam telah meragut nyawa timbalan ketua unit roket kumpulan Hizbullah.
Sumber tentera Lubnan mendedahkan individu berkenaan adalah timbalan ketua unit roket kumpulan Hizbullah, yang dikenali sebagai Ali Abdel Hassan Naim.
Hizbullah yang bersekutu dengan Hamas terlibat dalam pertempuran setiap hari rentetan perang Israel-Palestin yang meletus sejak 7 Oktober lalu, sehingga menyebabkan konflik bergelora sekitar wilayah itu.
Ketegangan serangan itu mencetuskan kebimbangan konflik yang mengingatkan kepada perang 2006.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan bahawa sebuah kereta menjadi sasaran dron Israel, mengakibatkan sekurang-kurangnya kematian seorang pegawai Hizbullah.
Sementara itu, Hizbullah dalam kenyataan berasingan pula berkata, tujuh pejuangnya termasuk seorang dikenali sebagai Naim, maut dalam serangan Israel tetapi tidak memperincikan bila dan di mana mereka terbunuh.
Terdahulu, pemantau peperangan yang berpangkalan di Britain, mendakwa enam pejuang Hizbullah maut dalam serangan Israel ke atas Syria, semalam.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan 'kebimbangan mendalam' susulan insiden serangan ke atas fasiliti penjagaan kesihatan, selepas beberapa serangan yang dipersalahkan pada Israel telah meragut nyawa petugas penyelamat di selatan Lubnan. - AFP