fb fb fb fb fb

Polis Thailand sasar sindiket jualan senjata api dalam talian

(Suasana bahagian luar pusat beli-belah mewah Siam Paragon selepas kejadian tembakan rambang seorang remaja di Bangkok/FOTO REUTERS)

BANGKOK, 5 Oktober - Thailand akan menambah baik kelemahan undang-undang sedia ada klasifikasi senjata api dan penjualan dalam talian dalam usaha mengawal senjata apinya.

Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata demikian sehari selepas seorang remaja ditahan berikutan kejadian tembakan maut di sebuah pusat beli-belah yang menyebabkan dua orang terbunuh.

"Pistol yang digunakan oleh penembak berusia 14 tahun itu diubah suai dan pada asalnya direka untuk menembak peluru kosong, bermakna ia tidak diklasifikasikan sebagai senjata maut, dan ia mungkin dibeli dalam talian," katanya dalam temu bual televisyen.

Remaja lelaki itu akan didakwa dengan pembunuhan yang dirancang.

Torsak berkata, terdapat lebih daripada 10,000 senjata api yang diimport secara sah berada dalam pasaran di Thailand.

Polis akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk mengklasifikasikanya semula sebagai senjata api maut untuk menyekat import mereka.

"Kami mahu memastikan senjata api ini adalah senjata api terkawal kerana pengubahsuaian mereka menjadikannya senjata maut," katanya kepada saluran televisyen Channel 3 Thailand.

Krisanaphong Poothakool, seorang pakar kriminologi di Universiti Rangsit, berkata mengubah suai senapang kosong adalah haram tetapi pelaku dengan mudah boleh belajar bagaimana membuat pengubahsuaian.

Polis Thailand tidak menolak kemungkinan wujudnya perkhidmatan jenayah untuk menawarkan pengubahsuaian pada senjata api tersebut.

Carian Reuters melalui platform e-dagang Lazada dan Shopee, antara barangan yang paling popular di Asia Tenggara, menunjukkan beberapa jenis senjata kosong dijual pada harga bermula sekitar 5,000 baht (RM639.45) di platform Shopee yang dimiliki oleh Singapore's Sea Ltd (SE. N) dan Lazada milik Alibaba.

Bagaimanapun kedua-dua platform e-dagang itu belum menjawab soalan dari Reuters.


(Kesan tanda peluru dilihat pada kaca di pusat beli-belah mewah Siam Paragon selepas polis Thailand
menahan seorang remaja lelaki bersenjata yang disyaki membunuh dua pelancong dan mencederakan orang lain di Bangkok/FOTO REUTERS)



'PENGAJARAN DARIPADA INSIDEN TEMBAKAN LEPAS'

Pakar kriminologi di Universiti Rangsit, Krisanaphong Poothakool, berkata pihak berkuasa boleh meningkatkan penguatkuasaan kawalan senjata api termasuk mewujudkan mekanisme lebih pantas untuk menyekat laman web dan perkhidmatan dalam talian yang menawarkan untuk menjual atau mengubah suai senjata api.

Tambahnya, kuasa politik untuk mendesak kawalan senjata jangka panjang juga penting.

Undang-undang Thailand sedia ada mengenai pemilikan senjata api haram membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga 20,000 baht Thailand (AS$539.67/RM2.54 juta).

Undang-undang telah diperketatkan selepas tembakan besar-besaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Thailand.

Ini termasuk keperluan untuk penilaian perubatan bagi mereka yang ingin membeli senjata api atau memperbaharui lesen senjata api mereka.

Oktober lalu, seorang bekas anggota polis membunuh 35 orang, termasuk 22 kanak-kanak, di sebuah taska di timur laut Thailand.

Sebelum itu pada tahun 2020, seorang askar menembak dan membunuh sekurang-kurangnya 29 orang di bandar timur laut Thailand yang lain.

Susulan kejadian tembakan pada Oktober, pentadbiran Thailand sebelum ini merangka rang undang-undang pengampunan senjata api membenarkan mereka yang mempunyai senjata tidak berdaftar mendaftarkannya atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa semasa tempoh tangguh.

Rang undang-undang itu bagaimanapun tidak berjaya melalui parlimen menjelang pilihan raya umum Mei.

"Kerajaan harus mengambil iktibar daripada insiden tembakan besar-besaran yang lalu, mengkaji semula cadangan penyelesaian dan melaksanakannya dengan cepat," kata Krisanaphong. - REUTERS

Media Baharu