fb fb fb fb fb

Polis Thailand, Kemboja bebaskan 215 warga asing dijadikan 'scammer'

Foto hiasan

BANGKOK, 23 Februari- Polis Thailand dan Kemboja menyerbu sebuah bangunan di bandar sempadan dan membebaskan 215 warga asing yang dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam talian, kata seorang pegawai kanan Thailand.

Beratus-ratus ribu individu telah diperdagangkan oleh sindiket penjenayah itu untuk melakukan penipuan dalam talian di seluruh Asia Tenggara, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan PBB pada 2023 menganggarkan bahawa operasi haram itu berkembang pesat dan menjana berbilion dolar setiap tahun.

Operasi yang dilakukan pada Ahad itu menyasarkan sebuah bangunan tiga tingkat di bandar sempadan Kemboja Poipet di wilayah Banteay Meanchey.

Warga asing yang diselamatkan termasuk 109 warga Thailand, Pakistan (50), India (48), Taiwan (5) dan Indonesia (3), kata jurucakap kerajaan Thailand Jirayu Houngsub.

"Ini adalah jumlah terbesar rakyat Thailand yang dibebaskan dari bangunan yang disyaki menjadi lokasi penipuan secara dalam talian untuk kedua-dua negara," kata Jirayu.

Operasi berkenaan merupakan hasil usaha bersama Thailand dan Kemboja untuk menangani penipuan secara dalam talian.

Ia telah beroperasi selama bertahun-tahun dan baru-baru ini seorang pelakon China Wang Xing diselamatkan akibat terpedaya dengan janji memperoleh pendapatan lumayan.

Namun dia telah diculik dan dibawa ke sebuah lokasi pusat penipuan secara dalam talian di Myanmar.

Sehubungan itu negara-negara Asia Tenggara meningkatkan usaha untuk menangani kejadian itu khususnya penguatkuasaan di sempadan Thailand-Myanmar.

Awal bulan ini, Thailand bertindak memotong bekalan elektrik dan internet ke kawasan yang dikaitkan dengan pusat penipua berkenaan.

Menurut tentera Thailand, China telah menghantar pulang 621 rakyatnya yang diselamatkan beberapa hari lalu.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI