fb fb fb fb fb

Polis Peru gagalkan penyeludupan dadah besar-besaran

Foto Reuters

LIMA, 7 Jun – Pihak berkuasa Peru berjaya merampas sebanyak 5.5 tan metrik dadah dalam satu operasi besar-besaran membanteras kegiatan pengedaran dadah, menurut kenyataan rasmi Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Rampasan berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 13 tan dadah yang disita sepanjang operasi anti-narkotik selama tiga minggu yang berlangsung dari 15 Mei hingga 5 Jun.

Operasi itu memfokuskan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi utama pengeluaran dan penyeludupan dadah termasuk wilayah Loreto, Tumbes, Piura, Moquegua, Cusco, Puno dan La Libertad, selain kawasan sempadan dengan Brazil dan Ecuador.

Antara jenis dadah yang dirampas ialah kokain hidroklorida, pes asas kokain dan ganja. Dalam operasi tersebut, seramai 15 individu telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Kementerian turut memaklumkan bahawa Direktorat Anti-Dadah Polis Kebangsaan Peru telah mencatatkan kejayaan merampas lebih 132 tan dadah bagi tahun 2025 setakat ini.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN