fb fb fb fb fb

Taiwan kutuk rondaan ketenteraan China, dakwa ancam kestabilan rantau

Foto AFP

TAIPEI, 6 Jun- Taiwan pada Jumaat mengecam tindakan provokatif China selepas mengadakan rondaan ketenteraan di sekitar pulau itu, sehari selepas perbualan telefon antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengesan kehadiran 21 pesawat tentera China termasuk pesawat pejuang dan dron.

Tindakan tersebut disifatkan "rondaan kesiapsiagaan tempur", apabila 15 daripada aset ketenteraan China telah melintasi garisan median Selat Taiwan.

"Tindakan sedemikian adalah amat provokatif. Ia membawa ketidakstabilan dan ancaman kepada rantau ini, serta merupakan satu pencabulan terang-terangan terhadap status quo serantau," kata kementerian itu.

Beijing mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak pernah menolak kemungkinan penggunaan kekerasan untuk menyatukan pulau itu dengan tanah besar China.

China meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taipei termasuk menghantar pesawat perang dan kapal tentera laut mengelilingi pulau berkenaan hampir setiap hari.

Rondaan terbaharu itu berlaku sehari selepas Xi dan Trump berbincang melalui panggilan telefon, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan isu berkaitan Taiwan.

Menurut agensi berita rasmi China, Xinhua, Xi memberi amaran bahawa Washington harus mengendalikan isu itu dengan berhati-hati bagi mengelakkan puak pemisah Taiwan menyeret China dan Amerika Syarikat (AS) ke kancah konflik berbahaya.

Kenyataan itu menyusuli amaran oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, yang berkata tentera China kini sedang berlatih untuk kemungkinan sebenar dan sedang bersiap sedia menghadapi potensi pencerobohan ke atas Taiwan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM