UKRAINE, 7 Jun – Ketegangan konflik Rusia-Ukraine terus memuncak apabila Rusia mendakwa melancarkan serangan udara berskala besar ke atas sasaran ketenteraan Ukraine, sebagai tindak balas terhadap tindakan yang didakwanya sebagai serangan pengganas oleh Ukraine.
Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan serangan menggunakan senjata berketepatan tinggi dan dron menyasarkan perusahaan industri ketenteraan, pusat latihan penerbangan, bengkel dron, serta gudang senjata.
Semua sasaran dilaporkan berjaya dimusnahkan.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, 10 dron berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, manakala Gabenor Saratov melaporkan kebakaran di sebuah perusahaan akibat serangan dron.
Staf Am Angkatan Tentera Ukraine pula melaporkan, Rusia melancarkan 407 dron dan 44 peluru berpandu, namun sekitar 200 dron dan 30 peluru berpandu berjaya dipintas.
Di Kiev, lebih 2,000 isi rumah terputus bekalan elektrik dan beberapa landasan kereta api rosak akibat serangan tersebut.
Sebagai tindak balas, Ukraine mendakwa menyerang pangkalan udara Rusia di Saratov dan Ryazan, serta hab logistik tentera di Kursk.
Sementara itu, Timbalan Speaker Majlis Persekutuan Rusia, Konstantin Kosachev mendakwa Ukraine menggunakan maklumat risikan dari UK dan Perancis dalam menyerang sasaran tentera Rusia.
Namun, kedua-dua negara tersebut belum memberi maklum balas rasmi.-REUTERS