fb fb fb fb fb

Polis Pakistan geledah rumah Imran Khan

(FOTO AFP)

LAHORE, 19 Mei-Polis Pakistan merancang bagi menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri, Imran Khan pada Jumaat.

Salah seorang pegawai wilayah berkata operasi tersebut dibimbangi bakal mencetuskan lagi keganasan ketika Pakistan dilaporkan sedang bergelut dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Menteri penerangan wilayah Punjab, Amir Mir berkata ratusan anggota polis, diketuai oleh pesuruhjaya polis bandar berkenaan akan menjalankan operasi mencari.

Kami mendapat maklumat, terdapat kira-kira 40 pengganas bersembunyi di sana.

"Jadi saya fikir kami memerlukan kira-kira 400 polis bagi menggeledah rumah itu,” katanya kepada Reuters.

Sumber itu merujuk kepada para penyokong Khan yang dituduh menyerang dan merosakkan bangunan kerajaan dan tentera.

Rumah bekas Perdana Menteri Pakistan itu dikatakan terletak di kawasan pejiranan Taman Zaman di Lahore, ibu kota Punjab.

Pada Mac lalu, kawasan tersebut menjadi medan pertempuran antara penyokong Imran Khan dan pihak polis yang cuba menangkap bekas bintang kriket berusia 70 tahun itu kerana tidak hadir ke mahkamah.

Pada Rabu lalu, kerajaan Punjab meminta Imran agar menyerahkan para penyokongnya yang dituduh melakukan serangan ke atas pihak tentera dan dikatakan bersembunyi di rumahnya.

Imran menafikan tuduhan melindungi mereka yang terlibat dalam keganasan itu dan berkata pihak berkuasa boleh menggeledah rumahnya dengan syarat mempunyai waran daripada mahkamah.

Pada Khamis pula, pembantu Imran, Iftikhr, Durrani membenarkan para wartawan memasuki beberapa kawasan di rumah Khan bagi ‘mencari pengganas’.

Pada 9 Mei lalu, Imran berjaya ditangkap atas dakwaan rasuah, namun dinafikan olehnya.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin yang diperintahkan mahkamah yang tamat tempoh akhir bulan ini.-Arab News.com


(FOTO AFP)

Media Baharu