DUBAI, 19 Mei-Iran pada Jumaat menggantung tiga lelaki yang didakwa terlibat tunjuk perasaan antikerajaan tahun lalu meski berdepan bantahan daripada kumpulan hak asasi.
Badan kehakiman Iran mengesahkan ketiga-tiga tertuduh iaitu Majid Kazemi, Saleh Mirhashemi dan Saeed Yaghoubi dijatuhkan hukuman gantung tanpa menyebut bagaimana hukuman itu dilangsungkan.
Pihak berkuasa Iran berkata ketiga-tiga penunjuk perasaan itu didapati bersalah kerana membunuh seorang pegawai polis dan dua anggota separa tentera kumpulan Basij di Isfahan ketika tunjuk perasaan berlaku di seluruh Iran November tahun lalu.
Kumpulan hak asasi berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan telah diseksa dan dipaksa membuat pengakuan di televisyen.
Selain itu, mereka turut dinafikan proses perundangan sewajarnya.
"Pihak pendakwaan bergantung pada 'pengakuan' yang dipaksakan ke atas para tertuduh.
Dakwaan tersebut dipenuhi dengan penyelewengan dan bermotifkan politik," kata Hadi Ghaemi, Pengarah Eksekutif Pusat Hak Asasi Manusia yang Iran berpangkalan di New York.
Kumpulan itu turut berkata salah seorang tertuduh, Majid Kazemi telah menghubungi salah seorang sepupunya dan menuduh pihak berkuasa Iran melakukan penyeksaan terhadap dirinya dengan cara menyebat kakinya menggunakan pistol serta mengancam untuk melakukan serangan seksual.
Sementara itu, Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International yang berpengkalan di London turut mengkritik keputusan kes tersebut yang dianggap tidak bertamadun dan bermotifkan politik semata-mata.
"Tindakan menyeksa tertuduh bagi mendapatkan pengakuan adalah satu contoh pengabaian kepada hak untuk perbicaraan yang adil pihak tertuduh oleh kerajaan Iran", kata Diana Eltahawy, Timbalan pengarah Amnesty untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.
Tunjuk perasaan di Iran yang meletus pada September lalu berpunca daripada kematian remaja wanita berusia 22 tahun, Mahsa Amini yang mati dalam tahanan polis selepas dituduh melanggar kod etika pemakaian Iran.
Tunjuk perasaan yang merebak dengan pantas bertukar kepada seruan bagi menggulingkan pemerintahan teokrasi yang telah mendasari pemerintahan Iran sejak Revolusi Islam 1979.
Setakat ini, Iran telah menjatuhkan hukuman mati seramai tujuh orang susulan tunjuk perasaan tersebut.-Arab News.com
(Penunjuk perasaan membawa berhimpun di Central London membantah tindakan
Anggota Keselamata Revolusi Iran (IRGC) pada Mac 2023/FOTO AFP)