fb fb fb fb fb

Pemimpin G7 akui krisis Ukraine, masih dihantui legasi nuklear Hiroshima

(FOTO REUTERS)

HIROSHIMA, 19 Mei- Barisan pemimpin negara demokrasi maju bersedia untuk mengeluarkan sekatan baharu terhadap Rusia melalui sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Hiroshima, Jepun.

Hasrat itu disuarakan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan pemimpin lain dari negara G7, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada.

Mereka dijangka mengumumkan sekatan yang diperketatkan ke atas Rusia dan membahaskan strategi mengenai konflik selama lebih setahun yang tidak menunjukkan sebarang isyarat untuk reda.

United Kingdom (UK) dalam kenyataannya, akan mengumumkan larangan membawa masuk berlian Rusia dan import logam termasuk tembaga, aluminium dan nikel sebagai sokongan untuk Ukraine.

Britain juga menyasarkan sekatan tambahan terhadap 86 orang dan syarikat dari kompleks perindustrian tentera Presiden Rusia, Vladimir Putin, selain mereka yang terbabit dalam industri tenaga, logam dan perkapalan.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, mengesahkan bahawa Eropah akan menyekat penjualan berlian Rusia.

Menurut wakil daripada beberapa negara, mereka masih memperincikan butiran pengumuman mengenai Rusia serta membahaskan mengenai tindakan yang tepat untuk China.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS, mengesahkan pihaknya akan menjanjikan komitmen yang kuat dalam tindak balas terhadap pencerobohan Rusia.

"Anda akan melihat langkah baharu yang diambil untuk mengasingkan Russa dari segi ekonomi dan melemahkan keupayaannya untuk berperang," katanya.

AS dijadual menambah 70 entiti dalam senarai hitam eksportnya, dan memperluaskan kuasa sekatannya kepada 300 entiti serta sektor baharu ekonomi Rusia.

Matlamatnya adalah untuk menutup kelompangan pelepasan di negara dari Eropah ke Asia dan Timur Tengah, yang menyasarkan barangan digunakan Russia dalam melancarkan perang.

Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport tenaga negara itu dan memotong akses Moscow kepada sistem kewangan antarabangsa.

Hiroshima iaitu bandar pertama yang mempunyai senjata nuklear, dijangka menerima kunjungan barisan pemimpin dunia bagi mengingati detik bersejarah itu.

Sementara itu, pada sidang kemuncak berkenaan, barisan pemimpin juga dijangka melawat tugu peringatan keamanan di bandar yang pernah musnah akibat serangan bom atom dalam Perang Dunia Kedua.

Sebelum ini, Moscow menyatakan ia bersedia menggunakan senjata nuklearnya untuk mempertahankan integriti wilayahnya jika perlu.

Kishida, yang mewakili Hiroshima di Dewan Rakyat Jepun, berkata beliau memilih bandar itu untuk sidang kemuncak bagi menumpukan perhatian kepada isu kawalan senjata. - REUTERS


(Pemimpin G7 meletakkan kalungan bunga bagi memperingati tragedi serangan bom atom
di Hiroshima, Jepun/ REUTERS)

Media Baharu