fb fb fb fb fb

Polis anti rusuhan guna gas pemedih mata surai sekatan jalan di Panama

Polis anti rusuhan membersihkan halangan di Lebuhraya Pan-Amerika/ Reuters

PANAMA, 15 Mei- Polis anti rusuhan Panama bertindak menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan sekatan jalan di Lebuhraya Pan-Amerika pada Rabu, selepas beberapa hari protes tercetus berikutan pelaksanaan reformasi pencen di negara Amerika Tengah itu.

Menurut laporan media tempatan, sekatan jalan tersebut menghalang laluan kenderaan termasuk lori-lori yang dalam perjalanan ke ibu negara, menyebabkan kesesakan teruk sejak awal pagi.

Seorang penduduk tempatan yang ditemui mendakwa, pihak berkuasa turut melepaskan gas pemedih mata ke arah kawasan kediaman berhampiran, walaupun penduduk di situ tidak terlibat dalam demonstrasi berkenaan.

Ketegangan di Panama memuncak sejak Mac lalu selepas Parlimen negara itu meluluskan reformasi terhadap sistem keselamatan sosial, langkah yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Reformasi tersebut merupakan antara janji kempen Presiden Panama Jose Raul Mulino yang bertujuan untuk mengurangkan defisit dana pencen negara.

Namun begitu, pengkritik mendakwa langkah itu akan menjejaskan kebajikan pencen generasi akan datang.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI