fb fb fb fb fb

Poland perkukuh ketenteraan, tempah 180 kereta kebal dari Korea Selatan

Foto Reuters

WARSAW, 1 Ogos – Poland menandatangani kontrak baharu dengan syarikat pertahanan Korea Selatan, Hyundai Rotem, untuk pembelian 180 kereta kebal tempur, dalam usaha meningkatkan kekuatan tenteranya susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Perjanjian itu merupakan kontrak kedua Poland dengan Hyundai Rotem selepas pembelian kumpulan pertama kereta kebal K2 pada 2022, dan kali ini merangkumi elemen pembuatan tempatan bagi memperkukuh industri pertahanan negara.

Sebanyak 61 buah kereta kebal akan dihasilkan di kilang Bumar-Łabędy di Gliwice, selatan Poland, manakala penghantaran pertama dijangka bermula tahun depan.

Pengeluaran tempatan pula dijadualkan berlangsung antara 2028 hingga 2030.

Walaupun nilai kontrak tidak diumumkan, Hyundai Rotem sebelum ini menganggarkan ia bernilai AS$6.5 bilion.

Poland, yang berkongsi sempadan dengan Ukraine, Rusia dan Belarus, telah memperuntukkan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan pada 2025, dengan sasaran meningkat kepada 5 peratus pada 2026.

Kontrak baharu itu turut merangkumi penghantaran kenderaan sokongan serta pakej latihan, penyelenggaraan dan pembaikan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN